Malcon 3 - UNIFIL @ Lebanon
Tanggal 17 julai 2008 yang lalu, iaitu pada hari pertama tahun ketiga aku di dalam perkhidmatan awam, aku telah diminta oleh bos aku untuk pergi ke Lubnan dengan mengikuti misi MALCON EAST 3 – UNIFIL sebagai Pegawai Kewangan (Awam). Aku telah berlepas ke Lubnan bersama-sama Kumpulan Induk MALCON EAST 3 pada 29 Julai 2008 dari Pangkalan Udara Subang dengan menaiki pesawat MAS – MH8190 pada jam 2.00 petang. Aku akan bersama dengan MALCON EAST 3 ini untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan iaitu dari 29 Julai 2008 hingga 28 Januari 2009.
Misi Pengaman PBB di Lubnan dikenali sebagai Pasukan Sementara PBB di Lubnan (United Nations Interim Forces in Lebanon – UNIFIL) dan diwujudkan selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC Resolutions 425 (1978), 426 (1978) & 1701 (2006). Maklumat lanjut UNIFIL boleh diperolehi dari laman web PBB @ http://www.un.org/
Penyertaan MALCON (Malaysia Contingent) di Lubnan adalah merupakan komitmen Malaysia dalam keamanan dunia. MALCON 1 (Jan ’07 – Okt ’07) dan MALCON 2 (Nov ’07 – Jul ’08) telah berkhidmat di Lubnan dengan tempoh perkhidmatan 9 bulan setiap satu. MALCON 3 meneruskan perkhidmatan MALCON di Lubnan dari Ogos ’08 hingga April ’09. Walau bagaimanapun, penugasan Pegawai Kewangan (Awam) adalah dihadkan untuk tempoh 6 bulan sahaja.
Pada masa ini, Lubnan berada dalam musim panas dan akan memasuki musim sejuk pada bulan Oktober kelak. Kem MALCON adalah terletak di kawasan Kaoukaba dalam daerah Hasbaiya di Lubnan Selatan. Kem MALCON berada pada ketinggian 800 meter di atas paras laut dan berhampiran dengan Bukit Golan, antara kawasan tinggi di Lubnan. Walaupun musim panas, namun kerana kem berada pada kedudukan yang tinggi maka kawasan kem sentiasa berangin kuat dan pada malam hari pula cuaca sejuk.
Kem MALCON berada dalam keadaan yang agak selesa dengan segala kemudahan asas telah disediakan oleh MALCON terdahulu. Tempat penginapan adalah kontena tetapi telah dipasang aircond. Bilik air dan tandas mempunyai kemudahan air panas. Juga terdapat kemudahan mesin basuh dan mesin pengering baju. Kemudahan yang terbaru disediakan adalah kemudahan gymnasium. Kemudahan makan disediakan 6 kali sehari di Dewan Makan dan Wisma Perwira.
Terdapat empat warna status keselamatan semasa yang telah ditetapkan oleh UNIFIL. Warna hijau mewakili status paling selamat, warna kuning bersedia, merah bahaya dan hitam amat bahaya. Pada masa ini, status keselamatan semasa adalah kuning. Terdapat prosedur operasi yang berbeza bagi setiap status keselamatan.
Pergerakan keluar & masuk kem adalah amat terhad dan hanya dengan kebenaran Komander dan juga bergantung kepada status keselamatan semasa. Bagi pergerakan keluar dari kawasan operasi MALCON, kebenaran dari SECEAST (Pemerintahan Sektor Timur) perlu diperolehi. Ini termasuk pergerakan ke Beirut yang terletak lebih kurang 100km dari Kaoukaba dengan masa perjalanan lebih kurang 3 jam. Pergerakan pergi & balik Beirut dihadkan kepada waktu malam sahaja atas alasan keselamatan.
Selain daripada tugas operasi ketenteraan, MALCON juga terlibat dengan aktiviti CIMIC (Civillian & Military Cooperation) di kawasan sekitar kem khususnya dan kawasan operasi UNIFIL amnya. Tujuan CIMIC adalah untuk mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat bagi meningkatkan penerimaan mereka ke atas kehadiran UNIFIL amnya dan MALCON khususnya. Selain daripada itu, kunjungan-kunjungan hormat oleh ketua-ketua kawasan sekitar ke atas Komander dan kunjungan balas Komander kepada mereka turut di aturkan.
Bagi mengisi masa lapang di dalam kem, aktiviti-aktiviti riadah telah dan akan diatur dari semasa ke semasa. Antaranya sukan bola tampar dan basketball yang diadakan di SPAINBATT. Aktiviti keagamaan turut diberi perhatian. Antara aktiviti keagamaan yang telah dirancang ialah aktiviti membaca Surah Yassin pada setiap malam Jumaat. Program membudayakan pembacaan al-Quran turut dilaksanakan pada setiap lepas solat 5 waktu.
Secara amnya, keadaan di kawasan operasi UNIFIL dan MALCON adalah stabil. Namun demikian, seperti juga di mana-mana kawasan operasi ketenteraan, keadaan boleh berubah dalam sekelip mata. Walau bagaimanapun, adalah diharapkan kestabilan di Lubnan amnya dan Selatan Lubnan ini khususnya akan berkekalan dan berubah kepada keadaan yang lebih baik dan kembali aman agar pembangunan dan kemajuan dapat dicapai.
August 9th, 2008 at 9:07 pm
emm… aku bangga gak dgn ko nih. Berjalan sana sini dan amat beruntungnyer ek ko..
August 12th, 2008 at 5:53 pm
weh, raya pun lu kat sana ke? tak dapek la ako raya rumah lu lagi tahun nih?
lu pos je la duit raya utk amir jr kat ako nanti